Tuesday, March 11, 2014

KEHILANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Minggu ini, saya diberi tajuk 'kehilangan' bersempena kehilangan MAS MH370.

Pada pendapat saya, kehilangan ni boleh di bahagikan kepada dua iaitu kehilangan benda yang nyata dan tidak nyata. Contoh kehilangan benda yang nyata ialah seperti kehilangan MAS MH370. Apa yang merungsingkan saya ialah kehilangan benda yang tidak nyata, kerana kehilangan seperti ini kadang-kadang tidak disedari oleh individu itu sendiri, contohnya, kehilangan jiwa kerana terlalu dibuai oleh fatamorgana dunia.

Dalam post saya kali ini, saya berminat untuk berkongsi pendapat mengenai 'padanan' kepada kehilangan. Bagi saya, setiap kehilangan pasti akan ada 'pengganti'. Kadang-kadang kita merasakan kehilangan adalah satu perkara yang paling mendukacitakan. Namun, kita perlu ingat, setiap yang berlaku pasti ada hikmahNya atau pasti ada sebab disebalik kehilangan. Mungkin, dengan kehilangan tersebut, kita akan mendapat pengganti yang lebih baik. Contohnya, anda kehilangan pekerjaan sebagai kerani disebuah syarikat, namun, dengan USAHA dan KEYAKINAN (sangka baik terhadap ketentuan Allah), mungkin anda diterima bekerja di syarikat lain yang menawarkan anda pangkat dan gaji yang lebih tinggi.

Mungkin akan ada yang cakap, macam mana kalau kita kehilangan insan yang penting dalam hidup kita? Saya bagi contoh yang terdekat iaitu apa yang berlaku sendiri dalam hidup saya. Saya kehilangan ibu kandung. Namun, Alhamdulillah, saya dikurniakan 'mami'. Dan mungkin akan ada yang cakap, kasih sayang ibu kandung dan ibu tiri adalah berbeza. Namun harus diingat, ibu tetap ibu. Tiada ibu yang tidak sayangkan anak meskipun dia ialah ibu tiri kerana ibu tiri juga ialah manusia yang mempunyai hati.

Saya suka untuk mengingatkan diri saya dan juga pembaca, kadang-kadang, kita perlu memaksa diri kita untuk memandang 'kehilangan' kepada perspektif yang lebih positif, supaya kita tidak terperangkap di dalam dunia kelam kerana tidak dapat menerima kenyataan di atas kehilangan yang menimpa.

Saya mohon maaf andai ada kata-kata saya yang mengguris hati. Mungkin saya tidak cukup meletakkan diri saya ditempat orang lain. Pendapat saya hanyalah didasari oleh pengalaman yang masih sedikit.

Semoga hari-hari kita sentiasa mendapat rahmatNya.
Ameen.