Monday, June 9, 2014

EPILOG

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menghasilkan post untuk tema sebanyak 20 sebelum ini.
Sebenarnya saya seorang yang kurang gemar menulis di dalam blog. Namun selepas mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada Sir Azzwan dan rakan-rakan lain, saya mula berasa selesa dan mendapati pelbagai faedah didalam penulisan blog ini.

Antara faedah yang ingin saya nyatakan ialah, didalam penulisan blog ini, kita bebas untuk suarakan pendapat, kita boleh belajar untuk menghasilkan tulisan dengan idea sendiri dan kita juga akan semakin cakna dengan rakan-rakan apabila rakan-rakan lain turut menghasilkan tulisan.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi sokongan dan bantuan sepanjang mengambil kursus ini. Terima kasih juga kepada kumpulan powerpoint dan kumpulan access yang amat baik didalam kerja berkumpulan. Terima kasih, Syawal, Tira, Zulaikha, Syafi dan Ayap. Maaf juga seandainya fai ada buat sebarang kesilapan sepanjang kita bekerjasama.

Jutaan terima kasih juga saya ucapkan pada Sir Azzwan yang banyak memberikan sumbangan idea serta ilmu kepada saya dan rakan-rakan. Untuk pengetahuan Sir, saya amat berterima kasih kepada Sir yang banyak memberikan kesedaran kepada saya dan rakan-rakan umumnya. Banyak perkara yang Sir lihat dari sudut lain yang turut membuka minda saya untuk berfikir lebih jauh. Saya amat hargai segala nasihat yang Sir berikan kepada kami. Sir, saya juga nak minta maaf andai ada sebarang tingkahlaku saya yang mengguris hati. Doakan kami semua ye.

Akhir kata, selamat menghadapi peperiksaan akhir kepada semua dan semoga Sir Azzwan terus bersemangat memberikan ilmu kepada adik-adik sesi akan datang.

Sekian itu sahaja, Assalamualaikum dan salam sejahtera.

FINAL EXAM

Assalamualaikum dan  salam sejahtera.
Final exam.

Semua orang sudah mula membicarakan mengenai final exam. Saya juga akan menghadapi perkara yang sama. First paper saya ialah pada 11/6/2014 iaitu pada hari Rabu. Pada hari berkenaan, saya akan menghadapi dua kertas iaitu Matematik dan Aplikasi Komputer. Sesungguhnya saya berasa amat gentar kerana akan menghadapi dua kertas pada masa yang sama.

Persiapan saya masih kurang. Meskipun bertapa di PTSL (library), tapi bukannya belajar sangat pun. End up dengan tidur sebab sakit kepala. Migrain. Sesungguhnya saya tak habis revise lagi. Tapi sedang berusaha untuk cover setiap chapter. Sekarang ni saya cuma nak buat soalan past year sahaja. Dah tak sempat nak baca satu-satu.

Kepada rakan-rakan yang lain, kalau banyak sangat pelajaran yang perlu dicover, tenang. Kita mulakan dengan strategi. Jawan soalan. Tulis nota sikit dekat soalan. Fahamkan. Itu lebih baik daripada kita tak tenteram nak habiskan pelajaran yang sangat banyak tu. Tawakal semoga apa yang kita belajar, masuk dalam final. Doa Allah beri kita kemudahan.

Kepada keluarga, kawan-kawan serta pensyarah dan tenaga pengajar, saya nak memohon kemaafan diatas setiap salah silap dan juga mohon keberkatan untuk setiap perkara. Semoga urusan kita bersama dipermudahkan. Bila nak final ni, harapnya kita kurangkan atau hapuskan masalah hati. Sebab bila ada masalah hati, ilmu susah nak masuk. Berbuat baik pada ibu bapa, doakan kepada mereka dan jangan lupa doakan juga buat pensyarah-pensyarah yang dah banyak bantu kita.

Nasihat saya untuk diri sendiri dan kepada yang membaca, jangan dikutuk orang yang memberi ilmu. Hargai mereka. Pada saya, semua orang buat silap. Kita pun bukannya sempurna sangat. Bukan senang nak memberi ilmu ni. Sebab hakikatnya yang memberi keizinan untuk kefahaman ialah Allah. Jadi jangan disalahkan orang yang memberi ilmu tu 100% kalau kita tak faham. Mungkin kita ada masalah dengan guru tu atau masalah hati dengan sesiapa yang menyebabkan ilmu sukar nak masuk.

Akhir sekali, semoga kita semua dapat saling bermaafan dan memudahkan urusan orang lain. Teruskan usaha semua.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

MAJORING

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Majoring.

Pasti semua warga FEP telah menghantar majoring form. Saya telah memilih ekonometrik sebagai pilihan pertama, monetari pilihan kedua dan industri antarabangsa sebagai pilihan ketiga.

Saya memilih ekonometrik tanpa ragu-ragu. In Sya Allah, saya yakin dengan keputusan saya. Semenjak awal lagi saya memang meminati bidang ini kerana sebelum ini saya sebenarnya berminat untuk menyambung pengajian ke bidang sains aktuari. Namun, semenjak bertukar bidang daripada sains kepada perakaunan, saya mendapati ekonometrik sesuai dengan jiwa saya.

Pada pendapat saya, MINAT perlu diletakkan di tempat pertama. Peluang pekerjaan tu penting juga, tapi, rezeki tu pasti ada. Kalau kos tu tak ada peluang pekerjaan, mesti kos tu dah lama dibuang. Kita yang nak belajar, jadi tanya pada diri sebenarnya apa minat kita.

Ramai yang cakap ekonometrik susah. Bagi saya, susah kalau tak minat. Kalau minat, susah macam mana pun kita akan tetap nak belajar. Bagi saya pula, majoring yang lain tu yang nampak susah meskipun senang di mata orang lain. Maksudnya senang susah ni sangat subjektif.

Saya lihat berlaku peningkatan didalam permintaan untuk ekonometrik. Jadi saya hanya mampu berdoa dan berharap agar terpilih untuk meneruskan dalam bidang ekonometrik. Doakan kejayaan kita bersama.

Akhir kata, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pedulik Hape FC

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 1 Jun yang lepas, saya bersama 6 orang rakan segayong yang lain telah menyertai pertandingan futsal yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Kajang Utama (PLKU).

Untuk kategori wanita, terdapat hanya empat kumpulan yang bertanding, iaitu wakil gayong daripada UKM, GMI, UNITEN dan Jalan Bukit. Manakala sebanyak lebih 20 kumpulan untuk kategori lelaki. Terdapat juga wakil daripada PDRM yang turut menyertai pertandingan ini.

Seminggu sebelum pertandingan, kumpulan saya, Wani (kapten), Mira, Solehatun, Umi, Teng dan Che Wan telah merancang untuk membuat persiapan awal. Kami telah membuat latihan intensif daripada hari Isnin sehingga Sabtu secara berturut-turut sebelum menghadapi pertandingan ini. Couch kami pada hari pertama ialah Hanif. Manakala hari-hari berikutnya, Cikgu Harun telah berbesar hati membantu kami supaya kami tidak terlalu kekok untuk bermain futsal. Hal ini disebabkan diri kami yang tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam permainan futsal.

Pada mulanya, saya berasa amat kekok untuk menendang bola dan berasa sangat malas untuk berlatih. Namun begitu, apabila melihat semangat rakan-rakan segayong, saya terus berasa bersemangat untuk terus berlatih dan meningkatkan prestasi.

Di dalam game ini, saya telah dilatih menjadi defender. Seronok, sebab tak perlu nak lari sangat, tapi berpeluh juga la nak mengejar bola yang satu tu. Sepanjang latihan, kaki saya kerap kejang dan sakit kerana kerap ditendang tepat dipeha. Tapi, biasalah, nama pun main bola. Kalau tak sakit tak sah kan. Memikirkan diri ini perlu dibiasakan dengan kesakitan, sakit itu dibiar berlalu pergi.

1 Jun tiba. Hati kami berdebar-debar menunggu perlawanan. Alhamdulillah kami berjaya bermain dengan baik. Walaupun tidaklah sehebat pemain kebangsaan, namun kami puas kerana kami telah berusaha sehabis baik. Alhamdulillah kami sebagai wakil PSSGMUKM berjaya merangkul Johan bagi kategori wanita.






Kami juga turut memberi sokongan pada pasukan UKM untuk lelaki. Namun, mereka tidak ada rezeki untuk perlawanan kali ini. Tak apa, tahun depan kita cuba lagi.

Pertandingan seumpama ini amat baik. Saya dapat merasakan hubungan antara kami semakin rapat. Saya dapat mengenali ramai rakan segayong daripada IPT lain. Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengadakan pertandingan seumpama ini.

Akhir kata, hidup cergas, minda cergas. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Saturday, May 31, 2014

MINAT

Salam alaikum dan salam sejahtera.
Saya dalam usaha untuk meningkatkan bilangan post di dalam blog ini :)

MINAT.
Di dalam ruangan ini, saya ingin berkongsi minat saya terhadap instrumen piano. Saya mula meminati piano sejak alam persekolahan lagi. Meskipun tidak memiliki piano mahupun keyboard, namun ianya tidak menghalang saya untuk terus meminatinya.


Antara piece yang saya minat ialah Petrouchka dan Ravel. Saya boleh duduk berjam-jam menghadap laptop semata-mata nak melayan piece ni. Saya mengenali piece2 ini daripada drama Nodame Cantaibile. Drama ini berkisar mengenai seorang lelaki yang berjiwa 'conductor' dan seorang perempuan yang berjiwa 'pianist' bersama rakan-rakan mereka yang juga meminati instrumen muzik seperti violin dan bass. Akhirnya mereka berjaya membentuk sebuah kumpulan orchestra yang terkenal.

Sebagai langkah permulaan, saya install beberapa application piano didalam telefon saya untuk memudahkan beginner seperti saya untuk mempelajari asas piano. Antara lagu yang baru saya pelajari ialah 'happy birthday' , 'if you are happy clap your hand', 'london bridge' dan lain-lain. Semasa mula-mula belajar tu memang ada kesukaran, tapi bila dah lama-lama dah boleh ingat.

Memiliki keyboard merupakan salah satu wishlist saya yang belum tertunai lagi. Selama ni main piano yang display dekat mall sahaja. Saya amat berharap selepas ni dapat memilik keyboard sendiri.

Bagi saya, piano merupakan instrumen yang menarik yang menghasilkan bunyi yang pelbagai daripada bunyi yang besar sehingga kecil. Piano juga mampu menghasilkan bunyi semula jadi seperti bunyi tepuk tangan. Sebab itu saya amat meminati piano :)

Cukup sekadar itu sahaja daripada saya mengenai minat saya.
Kepada rakan-rakan, selamat menyiapkan tugasan access.
Kepada syafi dan ayap, jom sama-sama siapkan sampai habis :)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Monday, May 26, 2014

GRADING

Salam alaikum dan salam sejahtera.
25/5/2014.
Ujian kenaikan bengkung.
Pusat Latihan Kajang Utama.

Bukan saya yang grading, tapi rakan segayong lain yang grading. Saya cuma bagi sokongan kepada rakan-rakan segayong. Gembira melihat semangat mereka. Ujian bermula dari pukul 9pagi sehingga 12 tengah hari. Namun begitu, terik mentari tidak dihiraukan dan ujian diteruskan.

Tahniah kepada rakan-rakan segayong yang berjaya menghabiskan ujian semalam. Kalian memang hebat. Doakan aku dapat naik bengkung macam kalian.

Saya paling suka tengok pemecahan genting sebab saya tak pernah berkesempatan untuk melihat pemecahan genting. Walaupun terpaksa memecahkan genting tanpa menggunakan apa2 sahaja, namun rakan2 segayong mampu memecahkannya. Tahniah. Doakan aku juga mampu memecahkannya suatu hari nanti.

Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru2 silat saya terutamanya cikgu idris selaku gurulatih pssgmukm. Terima kasih untuk segala ilmu yang cikgu turunkan: )

Semangat semakin membara melihat rakan segayong. Rasa untuk sentiasa menambah ilmu itu sentiasa ada. Untuk rakan2 yang grading, aku doakan kalian lulus dan dapat terus meningkatkan ilmu dalam dunia lersialtan. Mari bersama2 kita pertahankan warisan melayu warisan kita.

Sekian itu sahaja daripada saya. Salam alaikum dan salam sejahtera.

Monday, May 19, 2014

GENTAR

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


GENTAR.
Sekarang. MINGGU 13. Lagi DUA minggu FINAL!
Bermula semalam baru sempat nak belek-belek nota.
Telefon ayah. Ayah cakap buat yang terbaik. Belajar rajin-rajin.
Terkenangkan harapan ayah dan keluarga yang sangat besar buat diri ini kembali gentar.
Mampukah diri ini berikan apa yang mereka mahu.
Dah banyak ayah dan keluarga berikan untuk aku.
Tetapi apa yang mereka mahu aku berikan cuma kejayaan.
Jadi. Mengenangkan itu. Aku terdiam. Mula menyusun strategi.

Doa.
Aku mohon doa dan sokongan dari kalian.
Semoga kita semua diberi kekuatan.
Sama-sama menjadi kekuatan antara satu sama lain.
Kepada kawan-kawan.
Selamat menghadapi final yang dah tak lama lagi.
Jom sama-sama mengecap kejayaan.

Sekian itu.
Assalamualaikum dan salam sejahtera.

GALA DINNER GAYONG

Salam alaikum dan salam sejahtera.
17 Mei 2014.
Restoran Tasik Idaman.
Gala Dinner Gayong.
Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia UKM.

Alhamdulillah. Akhirnya pada tarikh tersebut, majlis Gala Dinner Gayong berjaya juga diadakan. Setelah pelbagai rintangan yang kami hadapi, dengan izin-Nya, kami dapat mengatasinya dan sekaligus berjaya menjayakan majlis ini.

Majlis ini sebenarnya adalah bertujuan untuk meraikan pelajar akhir tahun disamping dapat mengeratkan silaturrahim antara ahli-ahli silat gayong, Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia.

Pada malam tersebut, saya bersama Amsyar menjadi MC. Kami berdua tidak pernah menjadi MC dan ini merupakan yang pertama kalinya. Tidak dapat disangkal, masih banyak yang kami perlu pelajari untuk menjadi MC. Kaki menggeletar. Tangan menggeletar. Walaupun ini bukanlah pertama kali saya bercakap dihadapan. Mungkin juga faktor kurang persediaan dan mungkin juga pertama kali bercakap dihadapan mantan TNC, Prof. Dato' Dr. Ir. Othman A. Karim.

MC (bersama Amsyar)

Penasihat Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia UKM
Encik Idris Bin Shafie

 Mantan TNC, Prof. Dato' Dr. Ir. Othman A. Karim

Ahli Gayong UKM
Syahirah dan Teng.

Menguruskan bahagian pendaftaran

Syazwani dan Najihah.

Teng dan Che Wan. Partner ceria.

Bersama Pengarah Program. (Najihah)

Tahniah diucapkan kepada Pengarah Program serta AJK-AJK yang lain. Rasa happy sangat malam tu. Terima kasih kerana menjadi salah satu kenangan manis aku dekat UKM ni. Terima kasih kerana sanggup bersusah senang bersama-sama. Teng, terima kasih sebab ajar aku banyak benda kreatif. Suka kerja dengan Teng :) 

Akhir sekali, saya berharap agar selepas ini, kita dapat perbaiki segala kelemahan kita didalam program ini. Biasalah, baru belajar banyak benda kan. 

Gayong bercantum, ukhuwah terjalin.
Salam alaikum dan salam sejahtera.

GURU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bersempena Hari Guru pada 16 Mei yang lepas, saya berasa tertarik untuk membuat ruangan khas untuk apresiasi guru-guru dahulu dan kini yang tidak jemu mendidik dan membantu saya dalam bergelar insan.


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru,pensyarah-pensyarah serta para pendidik. Terima kasih untuk setiap pengorbanan yang diberikan demi anak bangsa. Dikesempatan ini juga, saya ingin memohon kemaafan untuk setiap kekhilafan saya. Maaf andai saya pernah mencalar hati guru. Jauh disudut hati, saya tidak pernah mahu melukakan hati mana-mana guru. Semoga jasa-jasa kalian dibalas kebaikan dan diberikan rahmat oleh Allah. Semoga kalian sentiasa mendapat kesihatan yang baik. Doakan kami anak-anak yang masih banyak yang perlu ditimba.

Guru-guru:
-Tadika Al-Hadanah Al-Islamiah
-SK Tanjung Aru II, Sabah
-SK Putrajaya 2
-SMK Bandar Baru Salak Tinggi
-SMK Putrajaya Presint 11(1)
-Kolej Islam Sultan Alam Shah
-Kolej Matrikulasi Melaka
-Universiti Kebangsaan Malaysia
-keluarga
-sanak-saudara
-rakan-rakan

Terima kasih juga kepada sesiapa sahaja yang pernah berkongsi ilmu dengan Fatin Az-Zahrah Binti Halim Noor. Walaupun anda bukanlah guru berdaftar, namun bagi diri ini, anda adalah guru.

Saya amat berharap agar semua pendidik memberkati ilmu yang diberikan. Teruskan mendidik.
Sekian itu sahaja daripada saya.
Salam alaikum dan salam sejahtera.

Tuesday, May 13, 2014

Tautan Kasih Bersama Gelandangan

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera.
Pada 11 Mei yang lepas, Kelab Ekonomi ada menganjurkan program bersama gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama PERTIWI. Melihat keadaan mereka membuatkan diri ini insaf dan tersedar dari lena. Dulu, pernah juga terfikir, kenapa golongan ni tak cari kerja? Tak ada ke orang yang boleh bantu? Tak ada ke rumah-rumah kebajikan kat Malaysia ni? Kenapa golongan ni nak duduk tepi jalan?

Apabila saya berfikir kembali dan lihat sendiri keadaan mereka, baru saya sedar. Mereka tidak meminta untuk hidup sedemikian. Mereka juga mahukan kehidupan yang lebih baik. Tapi, ada ke masyarakat yang nak ambil golongan ni bekerja. Kalau nak masuk kedai dengan pakaian yang sedemikian pun masyarakat dah halau.

Kami membantu PERTIWI mengagihkan makanan, pakaian dan selipar. Kami juga memberikan jam untuk kanak-kanak.sayu,sedih dan terharu apabila melihat kanak-kanak ini sangat gembira dengan pemberian jam untuk mereka.

Menurut Pn. Munirah, apabila mereka kenyang, mereka tidak marah. Benar. Usai sahaja kami mengagihkan makanan, mereka tidur dengan tenang. Mereka tidak perlu mencuri untuk mendapatkan makanan.

Kepada yang membaca, anda pada masa hadapan akan jadi orang besar. Anda mungkin menteri. Anda mungkin CEO. Anda mungkin 'somebody' yang mempunyai kemampuan untuk membantu golongan ini. Saya berpendapat, mungkin boleh dibina sebuah sekolah khas untuk golongan yang kurang berkemampuan ini. Atau mungkin boleh dibina satu pusat kemahiran supaya golongan ini tidak dipandang sebagai sampah masyarakat. Mereka bukan sampah. Mereka manusia yang juga ada perasaan dan keinginan seperti orang lain.

Saya berharap semua peserta dan ahli kelab serta diri saya sendiri dapat mengambil iktibar daripada mata yang melihat dan telinga yang mendengar.

Terima kasih atas sokongan kalian sepanjang mengendalikan program ini.
Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera.

SELAMAT HARI IBU

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera kepada semua.
Sempena hari ibu (11 Mei ) , saya ingin dedikasikan post ini khas untuk ibu (Rodiah Said) dan mami (Jamaliah Said).


( Ibu dan Mami )

Ibu.
Walaupun ibu dah tak ada, kasih sayang dan ingatan kakak pada ibu tak akan luput.
Insan yang melahirkan dan membesarkan.
Insan hebat yang banyak pengorbanannya.
Insan yang menjadi kekuatan dalam diri untuk sentiasa bersabar dann cekal menghadapi rintangan hidup.
Pemergiannya adalah terbaik untuknya kerana Allah sayang ibu.
Kakak doakan ibu sentiasa dalam perlindunganNya.

Mami.
Terima kasih kerana sudi menjadi mami kepada kakak.
Meskipun bukan mami yang melahirkan, namun kakak tahu, kasih sayang mami kepada kakak sama seperti seorang ibu kandung. Pengorbanan mami sangat besar. Tak terucap. Tak tergambar.
Mami bukan seperti ibu tiri yang lain. dan kakak tak pernah anggap mami ibu tiri.
Di hati kakak, mami adalah mami. Bagi kakak, mami insan hebat.
Guru dan pendidik.
Kakak akan berusaha menjadi anak yang baik.
Doakan kakak, mami.

Selamat Hari Ibu kepada semua.
Kalian berhak mendapat penghargaan daripada kami, anak-anak.
Pengorbanan dan kasih sayang kalian sangat besar.
Tangan-tangan kalian mampu menjadikan kami orang yang hebat.
Terima kasih.
Semoga Allah membalas jasa-jasa kalian dan merahmati kalian.


Sunday, May 4, 2014

Fatamorgana Kehidupan Dunia



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Fatamorgana by Hijjaz:

Pulanglah kepada tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia
Akhirat kekal selamanya pada Allah

(Korus)

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia 
Cabaran dan dugaan mendewasakan usia 
Rintangan dilalui tambah pengalaman diri
Sudah sunnah ketetapan Ilahi 

Deras arus dunia menghayutkan yang terleka 
Indah Fatamorgana melalaikan menipu daya 
Dikejar dicintai bak bayangan tak bertepi
Tiada sudahnya dunia yang dicari

Begitu indah dunia siapapun kan tergoda
Harta, pangkat, dan wanita melemahkan jiwa
Tanpa iman dalam hati kita kan dikuasai 
Syaitan nafsu dalam diri musuh yang tersembunyi 
Pulanglah kepada Tuhan cahaya kehidupan 
Keimanan, ketakwaan kepadaNya senjata utama 

(Ulang dari Korus) 

Sabar menempuh jalan tetapkan iman di hati 
Yakinkan janji Tuhan Syurga yang sedia menanti
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba 
Hidup akhirat kita kekal bahagia
Imanlah penyelamat dunia penuh pancaroba 
Hidup akhirat kita kekal bahagia

Pulanglah pada Tuhan cahaya kehidupan
Syarat bahagia di dunia 
Ahkirat kekal selamanya pada Allah
Allah
 
Fatamorgana ni apa sebenarnya? Fatamorgana ni sebenarnya bayangan yang menipu. Selalunya dekat gurun pasir, fatamorgana menyerupai danau atau air atau kota yang sebenarnya adalah pantulan daripada langit yang dipantulkan daripada udara panas. Udara panas ni yang berfungsi sebagai cermin.
 
Apa kaitan fatamorgana dengan kehidupan dunia? Apa yang saya cuba sampaikan ialah, zaman ini kita dapat lihat manusia mula dambakan dunia. Buktinya, semakin ramai yang takut mati. Contoh?
 
Situasi 1
Abu: (pandu kereta dengan kelajuan 180km/j)
Ali: Wei jangan laju sangatlah. Aku tak nak mati lagi.
Situasi 2
Siti: Kalau kau mati esok, kau dah bersedia ke?
Aminah: Apa mati-mati ni? jangan lah sebut. Aku tak nak mati lagi.
 
Sekarang ni, kita tak boleh nafikan situasi-situasi ni memang sering berlaku. Bahkan diri sendiri merasakan perkara yang sama. Kita takutkan mati, cintakan dunia. Dunia hanyalah sementara. Keindahan kehidupan didunia hanyalah fatamorgana.  Kemanisan sebenar adalah akhirat yang abadi.
 
Di kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang membaca untuk cuba mengingati kematian walaupun sekali sehari. Didik hati untuk cuba memaafkan setiap yang mengenali. Memaafkan tak semestinya sebab kita salah. Tapi tak dinafikan juga mungkin ada salah kita yang tanpa kita sedari. Jadi tiada ruginya saling memaafkan :)

Sekian itu sahaja. Mohon maaf andai ada kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak. Terima kasih kerana sudi baca. Salam alaikum dan salam sejahtera.

Sunday, April 27, 2014

SAYANG DIRI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tajuk post yang dipilih pada kali ini ialah SAYANG DIRI.


Wujud ke orang yang tak sayang diri?
Ada! 
Bukti? 
Tu... (sambil muncung mulut kearah orang yang merokok )

Banyak perkara yang kadang-kala kita terlepas pandang keatas diri kita. Contohnya? Gemar makan makanan yang tidak sihat, minum minuman berkarbonat, tidur lebih banyak daripada bekerja atau berfikir dan lain-lain. Saya percaya, anda boleh beri saya contoh yang lebih banyak lagi.

Sayangilah diri sendiri dulu supaya kita kurang ada masalah untuk menyayangi orang lain. Macam mana kita nak prihatin keatas orang lain kalau diri sendiri tak terurus kan? Sebab tu, kalau kita tengok kat mana-mana institusi pendidikan, kita sering jadikan tenaga pengajar sebagai teladan, kerana mereka mampu urus diri sendiri. Jadi, mereka tiada masalah untuk mendidik orang lain.

Sama juga dengan menyayangi diri sendiri, jika kita sayang keluarga kita, rakan-rakan kita dan sesiapa sahaja, kita pasti akan menyayangi diri kita kerana kita tahu kewujudan kita sangat memberi erti yang besar didalam kamus kehidupan mereka.

Kata-kata diatas adalah rumusan kepada post saya. Sayang, Terima, Maafkan Diri Sendiri. Beri peluang pada diri sendiri untuk berasa bahagia.

p/s: Selamat menyiapkan tugasan powerpoint & access ye kawan-kawan :D

Sekian itu sahaja daripada saya. Mohon maaf andai ada kata-kata yang mengusik hati. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Thursday, April 24, 2014

ZAMAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

" Zaman dahulu, pak cik pergi sekolah jalan kaki, sekolah dengan rumah berbatu-batu, tak merungut pun. Budak zaman sekarang, nak berjalan sikit pun dah mengaduh sakit kaki".                                                 

" Zaman dahulu kalau dapat 1A pun dah boleh masuk asrama, sekrang ni kena usaha lebih sikit, sebab yang dapat 'straight As' pun da ramai".
 
Saya ingin mengupas sedikit daripada artikel yang baru saya baca. Anda boleh rujuk artikel tersebut di http://belia.org.my/wp/?p=1893 (Ubah Corak Pemikiran, Jadi Belia Kelas Pertama)

Saya bersetuju dengan Ketua Menteri, Datuk Idris Haron bahawa belia zaman ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal dan menjadi lebih peka terhadap isu semasa memandangkan persaingan dan cabaran yang semakin meningkat.

Antara faktor yang menyumbang kearah peningkatan modal insan minda kelas pertama ialah:
i) Amalan Pembelajaran Sepanjang Hayat
ii) Kreativiti
iii) Kepercayaan
iv) Kompetensi

Oleh itu, saya berharap agar diri saya serta rakan-rakan membuat penilaian keatas diri sendiri. Dimanakah tahap kita? Adakah kita sudah bersedia untuk menjadi produk Malaysia yang boleh dibanggakan? Semoga kita boleh menyumbang sesuatu kepada negara, bumi dimana kita dilahirkan.

 Sekian itu sahaja. Maaf andai ada kata-kata yang tidak menyenangkan. 
Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sunday, April 20, 2014

KELAB EKONOMI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

KELAB EKONOMI

Kelab Ekonomi merupakan salah satu kelab yang wujud di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pelajar FEP.

Post saya kali ini ialah berkisar mengenai pengalaman saya sepanjang berada di dalam kelab ini. Sebelum memasuki UKM, senior2 sudah pun mempromosi KE. Maka sebenarnya sebelum memasuki UKM lagi saya sudah tahu serba sedikit mengenai KE.

Saya berasa amat bersyukur kepada Ilahi kerana menemukan saya dengan KE dan amat berterima kasih kepada akak2 yang mempromosikan kelab ini dan memilih saya menjadi salah seorang KE. 

Gambar-gambar ini merupakan sebahagian daripada aktiviti kami.


Meeting pertama KE 23/09/2013

Meeting santai bersama Kelab Ekonomi, UMT

Zoolunteer 

Program Santai untk Senior KE <3

Girls Bonding :)

Bowling di Warta

Berbuka puasa bersama-sama AJK Tahun 1 ^_^

with Syafi :)

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua kerana memberi pengalaman yang sangat berharga buat saya. Kepada akak2 dan abang2 juga, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk belajar banyak perkara. Antaranya, pengurusan masa dan pengurusan program. Perasaan sebagai satu keluarga adalah yang paling berharga. Mohon maaf juga andai kata diri ini ada melakukan sebarang kesilapan sepanjang kita bekerjasama.

Tuesday, April 15, 2014

LUPA

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera.

Post kali ini saya dedikasikan khas untuk kawan saya yang saya kenal sejak sekolah rendah lagi.

Badrul Amin Bin Awab. 
100414



Amin, minta maaf sangat sebab lupa. Sebenarnya dah ingat sebelum tarikh tu. Tapi disebabkan sibuk yang melanda, jadi lupa. Tapi di kesempatan ini, nak ucap Happy Birthday dan semoga bahagia dunia akhirat dan semoga cita2 tercapai :) hadiah nanti la ea :P

Tahniah juga dekat dia sebab dapat anak buah baru yang comel :)

Sekadar itu sahaja.
Jangan sedih sangat sebab lambat wish.
Salam alaikum.


Wednesday, April 9, 2014

RAPUH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Tajuk seterusnya yang diberikan ialah RAPUH.
Sebenarnya, agak sukar untuk saya mencari idea untuk membahaskan tentang rapuh.
Jadi, saya memulakan langkah pertama dengan pencarian definisi rapuh. Secara amnya, rapuh ini membawa erti mudah patah, mudah rosak dan lemah.

Percaya atau tidak, kita sering kaitkan rapuh ini dengan hati. Hati yang rapuh. Pada saat hati kita rapuh, biasanya hati tidak akan tenang.sesak.sebak.sedih.DAN.selalunya.akan melibatkan perhubungan kita dengan manusia.

Seperti biasa, tulisan saya biasanya melibatkan pendapat saya. Sebenarnya, pada pendapat saya, ubat untuk hati yang rapuh ialah TEKAL. Kita memang tak boleh nak elak daripada rapuh sekiranya telah mengalaminya. NAMUN, kita masih mempunyai pilihan untuk keluar daripada zon tidak selesa itu. Beri peluang kepada diri sendiri. Tekalkan hati sendiri. Yakinkan hati sendiri. Tenangkan hati sendiri. Diam.Tenang.Fikir.

Sekiranya hati kita rapuh disebabkan manusia, INGAT, Tuhan yang jadikan hati, Tuhan juga yang boleh bersihkan hati.

Sekiranya hati kita rapuh disebabkan ketidaksefahaman, INGAT,
"meminta maaf tidak semestinya kita salah, tetapi, ianya salah satu cara untuk mendidik kita supaya rendahkan ego, dan memelihara hubungan sesama manusia, buat apa bergaduh, bukankah kita sama saja, sama-sama pernah melakukan kesilapan, jangan bangga tak pernah buat salah dengan orang, mungkin ini masa orang buat salah dengan kita, masa kita, siapa tahu, kita maafkan orang, in sya Allah, orang lain juga begitu"

Dikesempatan ini, saya, FATIN AZ-ZAHRAH BINTI HALIM NOOR, ingin memohon maaf kepada semua yang mengenali untuk segala kekhilafan diri ini. Terima kasih kepada keluarga, kawan2, pendidik2 dan semua yang mengenali kerana sentiasa menyokong diri ini.

Terima kasih. Assalamualaikum dan salam sejahtera.


JATUH

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera kepada pembaca. Tajuk blog yang diberi oleh Sir Azwan pada minggu ini ialah JATUH.

WHAT HURTS YOU TODAY,
MAKES YOU STRONGER TOMORROW

Semasa saya mencari-cari idea nak tulis apa tentang JATUH ni, saya terjumpa kata-kata ni, dan saya akui kebenarannya. Sebenarnya, apa sahaja perkara yang buat kita jatuh boleh menjadi kekuatan kita pada masa akan datang.

Tetapi, bagaimana? Boleh ke kelemahan tu secara tiba-tiba menjadi kekuatan kita?

Pada hemat saya, kelemahan itu hanya boleh menjadi titik tolak kepada perubahan yang positif atau kekuatan kepada kita HANYA apabila kita menyedari bahawa sesuatu perlu dibuat untuk merubahnya.

Jatuh itu perlu juga sebenarnya dalam hidup. Tanpa jatuh, kadang-kadang sukar untuk kita buat perubahan yang lebih besar dan lebih memberi impak dalam hidup kita.

Maka, sekiranya kita jatuh, jangan terus jatuh, tetapi bangkit dengan semangat baru. Peluang sentiasa ada untuk yang mencari.

Akhir kata, GAMBATTE KUDASAI untuk exam minggu depan ye semua :)

Salam alaikum.

Sunday, March 30, 2014

MOVE ON

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Tugasan kali ini adalah mengenai move on. Minggu lepas, seperti yang diketahui umum, kita ada menjalani lab test. Alhamdulillah berjaya menghabiskan lab test. Namun, saya agak sedikit kecewa kerana telah melakukan kesalahan besar dan telah dapat merasakan terpaksa repeat lab test. Namun, perasaan kecewa tu tak begitu menghantui diri disebabkan tajuk yang diberi oleh Sir Azzwan sedikit sebanyak mengurangkan tekanan.

Kemudiannya, semalam, 30/3/2014, Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia telah menjalani ujian kenaikan bengkung. Nervous juga sebenarnya sebab ini merupakan pertama kali menjalani ujian kenaikan bengkung. Semasa ujian, sangat mencabar, kerana gerakan harus lebih pantas daripada semasa latihan. Kemudiannya, pengalaman membuat lompatan semasa ujian juga agak mencabar. Saya terpaksa mengulang lompatan kerana lompatan pertama tidak menjadi dek terlalu gementar. Namun, saya harus move on tanpa menoleh kebelakang. Ketakutan itu harus diatasi. Alhamdulillah saya berjaya melepasi ujian tersebut.

Move on. Berdasarkan dua kejadian yang saya ceritakan, diri saya sendiri harus move on dan tidak membiarkan kekecewaan atau ketakutan menguasai diri sendiri. Semoga perkara ini akan lebih mematangkan diri saya.

Dikesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada Sir Azzwan kerana memberi tajuk tugasan ini.

Terima kasih kerana sudi membaca. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Friday, March 21, 2014

MERAJUK

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera. Tajuk yang diberikan pada minggu ini ialah MERAJUK.


Dah duatiga hari berlalu setelah tugasan ini diberi. Agak sukar untuk saya menulis post kali ini kerana tak tahu nak huraikan apa tentang merajuk ni. Semua orang pernah merajuk. Walaupun kita kurang gemar kalau orang merajuk dengan kita, tapi kita tak boleh nafikan yang kita sendiri sebenarnya pernah merajuk dengan orang. Biasalah, sukar untuk kita jaga hati banyak pihak.

Saya nak berkongsi maksud merajuk dalam pelbagai bahasa.

English: sulk
Spanish: enfurruñarse
Tamil: பலவீனமானவர்களாகி (tak tau la macam mana nak sebutnya ni.haha)
Portugis: amuar

Merajuk. Saya rasa saya dah berjaya buat orang merajuk dengan saya. Apa saya buat? saya panggil dia BULAT :) hee. perasaan setelah berjaya buat orang merajuk? BAHAGIA sangat sebab akhirnya ada juga benda nak tulis dalam blog ni. ye dak tikah shahardin? opss..hahaha.

Akhir kalam, merajuk tu asam garam kehidupan. Ubatnya saling memaafkan. Baru kurang penyakit hati :)

Kepada semua yang mengenali, dikesempatan ini, saya ingin mohon maaf atas segala kekhilafan diri ni yang membuatkan anda merajuk dengan saya.

Dan, akhir sekali, saya mengucapkan selamat menyiapkan tugasan blog ni kepada kawan2 ye ^_^

Tuesday, March 11, 2014

KEHILANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Minggu ini, saya diberi tajuk 'kehilangan' bersempena kehilangan MAS MH370.

Pada pendapat saya, kehilangan ni boleh di bahagikan kepada dua iaitu kehilangan benda yang nyata dan tidak nyata. Contoh kehilangan benda yang nyata ialah seperti kehilangan MAS MH370. Apa yang merungsingkan saya ialah kehilangan benda yang tidak nyata, kerana kehilangan seperti ini kadang-kadang tidak disedari oleh individu itu sendiri, contohnya, kehilangan jiwa kerana terlalu dibuai oleh fatamorgana dunia.

Dalam post saya kali ini, saya berminat untuk berkongsi pendapat mengenai 'padanan' kepada kehilangan. Bagi saya, setiap kehilangan pasti akan ada 'pengganti'. Kadang-kadang kita merasakan kehilangan adalah satu perkara yang paling mendukacitakan. Namun, kita perlu ingat, setiap yang berlaku pasti ada hikmahNya atau pasti ada sebab disebalik kehilangan. Mungkin, dengan kehilangan tersebut, kita akan mendapat pengganti yang lebih baik. Contohnya, anda kehilangan pekerjaan sebagai kerani disebuah syarikat, namun, dengan USAHA dan KEYAKINAN (sangka baik terhadap ketentuan Allah), mungkin anda diterima bekerja di syarikat lain yang menawarkan anda pangkat dan gaji yang lebih tinggi.

Mungkin akan ada yang cakap, macam mana kalau kita kehilangan insan yang penting dalam hidup kita? Saya bagi contoh yang terdekat iaitu apa yang berlaku sendiri dalam hidup saya. Saya kehilangan ibu kandung. Namun, Alhamdulillah, saya dikurniakan 'mami'. Dan mungkin akan ada yang cakap, kasih sayang ibu kandung dan ibu tiri adalah berbeza. Namun harus diingat, ibu tetap ibu. Tiada ibu yang tidak sayangkan anak meskipun dia ialah ibu tiri kerana ibu tiri juga ialah manusia yang mempunyai hati.

Saya suka untuk mengingatkan diri saya dan juga pembaca, kadang-kadang, kita perlu memaksa diri kita untuk memandang 'kehilangan' kepada perspektif yang lebih positif, supaya kita tidak terperangkap di dalam dunia kelam kerana tidak dapat menerima kenyataan di atas kehilangan yang menimpa.

Saya mohon maaf andai ada kata-kata saya yang mengguris hati. Mungkin saya tidak cukup meletakkan diri saya ditempat orang lain. Pendapat saya hanyalah didasari oleh pengalaman yang masih sedikit.

Semoga hari-hari kita sentiasa mendapat rahmatNya.
Ameen.

Thursday, March 6, 2014

ABOUT ME

Assalamualaikumwbt dan salam sejahtera kepada pembaca yang saya yakin 100% mengambil subjek aplikasi komputer semester ini. Tugasan pertama yang diberi oleh Encik Azzwan ialah 'Tentang Saya' .

Nama seperti yang tertera didalam IC ialah Fatin Az-Zahrah Binti Halim Noor. Mungkin jika nama saya bukan Fatin Az-Zahrah, nama saya ialah Delima. Sebab? Semasa arwah ibu mengandungkan saya, mami( dahulunya ibu saudara saya, kini tidak lagi setelah berkahwin dengan ayah) selalu bagi buah delima kepada arwah ibu.

Saya dilahirkan pada 22 Februari 1994 pada pukul 3:01 pagi di Hospital Besar Kuala Lumpur. SAYA merupakan hadiah hari lahir buat ayah saya kerana saya lahir pada hari lahir beliau. YA, kami selalu meraikan sambutan hari lahir bersama-sama.

Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa arwah ibu? Arwah ibu meninggal dunia pada 14/7/2003 kerana menghidap penyakit leukimia. Perasaan saya? Semestinya sedih. Tetapi saya untung. Alhamdulillah. Kerana dikurniakan sebuah keluarga yang penyayang dan ambil berat. Tok, semua sanak saudara dan keluarga beri sokongan kepada kami sekeluarga. Antara kata-kata yang membuatkan saya kuat dan redha dengan pemergian ibu ialah, " Biarlah Allah ambil ibu dulu, mungkin kalau ibu dipanjangkan umur sekalipun, mungkin ibu tak tertanggung kesakitan didunia, biarlah ibu berehat di alam sana " . Disebabkan itu sehingga kini, saya percaya setiap apa yang menimpa kita, pasti ada hikmahnya. Bezanya ialah cara kita mendefinisikan setiap perkara yang menimpa kita.

Saya melalui zaman kanak-kanak saya di Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah. Tadika di Tadika al-Hadanah al-Islamiah. Bersekolah rendah di SK Tanjung Aru II, Kota Kinabalu dan SK Putrajaya 2. Meneruskan pengajian di SMK Bandar Baru Salak Tinggi selama sebulan, SMK Putrajaya Presint 11(1) sehingga tingkatan 3 dan meneruskan tingkatan 4 dan 5 di Kolej Islam Sultan Alam Shah(KISAS). Apabila memasuki Kolej Matrikulasi Melaka, saya menukar bidang daripada Sains Tulen kepada perakaunan. 

Akhirnya disinilah saya menyambung ijazah sarjana muda di UKM dalam bidang ekonomi. Cita-cita saya ialah untuk menyambung pengajian sehingga phD kerana ini juga adalah impian keluarga saya. Saya berharap saya mampu membuat keluarga saya gembira kerana untuk belajar, saya tidak perlu bekerja untuk mencari duit untuk membayar yuran pengajian. Semuanya ditanggung oleh keluarga. Maka, tugas saya hanya belajar.

Doakan kejayaan kita bersama. Bersama merangkul keunggulan.